Sign In
241014_TITAH AWAL TAHUN HIJRAH (2).JPG

TITAH

 

"Sementara kita tidak mengetahui jawapan kepada cabaran-cabaran dunia yang sangat kompleks, kita perlu mempersiapkan diri bagi masa depan.  Kerajaan Beta insya-Allah akan sentiasa membuat penilaian dan pembaikan-pembaikan yang bersesuaian. Kita memang tidak sunyi dari menghadapi pelbagai cabaran baru yang tidak siapa pun dapat menjangkakannya. Tetapi selaras dengan pegangan kita, kita berusaha, di samping berdoa dan bertawakal, dengan penuh berani. Ini semua, pada akhirnya, akan mewujudkan ketahanan nasional, yang berperanan besar untuk menjamin kemajuan dan kemakmuran negara.


Oleh sebab itulah kita telah merencanakan Wawasan Brunei yang munasabah sebagai warisan kewujudan bangsa. Wawasan telah mencarta hala tuju masa depan negara, memandu perancangan yang lebih bersistematik bagi menuju kepada sebuah negara dan mempunyai rakyat berpendidikan dan berkemahiran tinggi lagi berjaya, berkualiti dan mempunyai ekonomi yang dinamik lagi berdaya tahan."


Petikan Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena menyambut tahun baru tahun masihi 2009




WAWASAN BRUNEI 2035

Pada tahun 2007, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan satu visi kemajuan jangka panjang negara yang dikenali sebagai Wawasan Brunei 2035. 

Menjelang tahun 2035, Negara Brunei Darussalam berhasrat untuk menjadi sebuah negara yang terkenal di seluruh dunia dengan pencapaian penduduknya yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi yang mengikut piawaian antarabangsa yang tertinggi; kualiti kehidupan yang tertinggi termasuk antara 10 negara teratas di dunia; dan ekonomi yang dinamik dan berdayatahan di antara 10 negara teratas dari segi Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Per Kapita.

Majlis Tertinggi Wawasan Brunei 2035 (MTWB) telah ditubuhkan pada tahun 2014 yang dipengerusikan oleh Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah Ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzadin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri. MTWB akan memberikan hala tuju di peringkat kebangsaan mengenai isu-isu yang berkaitan dengan Wawasan Brunei 2035, melalui Kerangka Kerja Wawasan Brunei 2035.