Sign In

SOALAN-SOALAN LAZIM

Apa itu Wawasan Brunei 2035?

Wawasan Brunei 2035 > Penubuhan Wawasan Brunei 2035

Hasrat Negara untuk menjadi sebuah negara yang maju menjelang 2035 dengan Rakyat yang Berpendidikan Tinggi, Berkemahiran dan Berjaya; Rakyat mempunyai Kualiti Kehidupan yang Tinggi; dan Ekonomi Negara yang Dinamik dan Berdayatahan.

Berapakah jumlah Matlamat Wawasan Brunei 2035?

Wawasan Brunei 2035 > Kerangka Kerja Wawasan

Wawasan Brunei 2035 mempunyai 3 matlamat iaitu:

  1.   Rakyat yang Berpendidikan Tinggi, Berkemahiran dan Berjaya
  2.   Rakyat yang mempunyai Kualiti Kehidupan yang Tinggi
  3.   Ekonomi Negara yang Dinamik dan Berdayatahan

Apa kah peratus (%) pencapaian Wawasan Brunei 2035 setakat ini?

Wawasan Brunei 2035 > Pencapaian Setakat Ini

Pelbagai kemajuan telah dibuat di bawah inisiatif-inisiatif bagi ke tiga-tiga matlamat di bawah Wawasan Brunei 2035. Walaubagaimanapun, pencapaian Wawasan pada masa ini masih lagi memerlukan peningkatan jika negara ingin mencapai sasaran nya pada tahun 2035.

Adakah Wawasan Brunei 2035 mempunyai mekanisme pemantauan?

Wawasan Brunei 2035 > Kerangka Kerja Wawasan

Secara amnya, perkembangan negara ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035 adalah di nilai menggunakan beberapa Petunjuk Prestasi Utama Kebangsaan (National Key Performance Indicators / NKPI) yang telah dikenalpasti. 

Perkembangan NKPI-NKPI tersebut dipantau secara berterusan untuk memberikan gambaran terkini bagi tahap pencapaian Wawasan Brunei 2035. 

Kesesuaian NKPI-NKPI Kebangsaan yang dipantau tertakluk kepada kesesuaiannya dan juga situasi semasa. NKPI-NKPI berkenaan akan diteliti semula setiap 5 tahun.

Apakan peranan Peneraju Wawasan Brunei 2035?

Wawasan Brunei 2035 > Urustadbir Wawasan

Peneraju terdiri daripada Menteri dan Timbalan Menteri Kabinet yang dipertanggungjawabkan untuk mengembang dan menjana sinergi terhadap kesepaduan perencanaan dan pencapaian Wawasan Brunei 2035. 

Mereka juga bertanggungjawab untuk merangka strategi-strategi dalam bidang-bidang yang tertentu (seperti Pendidikan, Ekonomi, Kesihatan dan sebagainya) bagi mencapai hasil-hasil kebangsaan yang diperlukan menurut Kerangka Kerja Wawasan Brunei 2035. Peneraju-Peneraju juga akan mengadakan perundingan dengan pihak berkepentingan dalam proses perencanaan strategi-strategi ke arah pencapaian Wawasan. 

Setiap Peneraju perlu menubuhkan Jawatankuasa Peneraju dengan komposisi keahlian terdiri daripada pihak-pihak yang berkepentingan samada dari Kementerian, Jabatan dan agensi  Kerajaan yang berkaitan, termasuk juga penglibatan sektor swasta serta pihak awam/Pertubuhan Bukan Kerajaan yang sesuai dengan keperluan fungsinya.

Apa yang dimaksudkan dengan Kerangka Kerja Wawasan Brunei 2035?

Wawasan Brunei 2035 > Kerangka Kerja Wawasan

Kerangka Kerja Wawasan Brunei 2035 dihasilkan bagi mengurus dan memantau agenda pembangunan negara dengan lebih fokus dan holistik. Kerangka Kerja ini adalah panduan dan rujukan bagi segala usaha ke arah pencapaian Wawasan Brunei 2035, serta mengambarkan hubungan antara Matlamat-Matlamat Wawasan, Hasil-hasil Pencapaian, Bidang Utama dan KPI Kebangsaan yang juga menunjukkan kesejajaran dan kerjasama antara pihak Kerajaan, Swasta, Badan-Badan bukan Kerajaan dan rakyat. 

Kerangka Kerja definition.jpg


Apa itu Hasil Pencapaian Wawasan Brunei 2035?

Wawasan Brunei 2035 > Kerangka Kerja Wawasan

Hasil Pencapaian adalah pencapaian khusus yang hendak dicapai bagi setiap matlamat Wawasan dan terdapat sebanyak 12 Hasil Pencapaian pada setakat ini.


Apa itu Bidang Utama Wawasan Brunei 2035?

Wawasan Brunei 2035 > Kerangka Kerja Wawasan

Bidang Utama merupakan bidang-bidang yang dikenalpasti yang perlu diberi keutamaan bagi setiap hasil pencapaian dan pada setakat ini, terdapat sebanyak 28 Bidang Utama yang dikenalpasti.

Apa itu KPI Kebangsaan?

Wawasan Brunei 2035 > KPI

KPI Kebangsaan (National Key Performance Indicators) atau lebih dikenali sebagai Petunjuk Prestasi Utama Kebangsaan digunakan untuk mengukur pencapaian negara secara holistik di peringkat tertinggi. 

Pada masa ini, terdapat 37 KPI Kebangsaan yang sedang dipantau.

Kenapa ianya penting bagi kita untuk diukur mengikut piawaian antarabangsa?

Wawasan Brunei 2035 > Benchmarking

Kerangka Kerja Wawasan Brunei 2035 menggunakan piawaian antarabangsa bagi membolehkan negara mengukur pencapaian berbanding pencapaian-pencapaian negara lain, serta memberikan gambaran kepada negara-negara lain akan kebolehan dan kestabilan Negara Brunei Darussalam. 

Ini akan mengalakkan negara-negara lain untuk membuat pelaburan di Negara Brunei Darussalam, di samping membukakan peluang-peluang pembangunan. Kaedah ini juga akan memberikan motivasi yang sihat kepada negara kita untuk terus berusaha bagi mencapai sasaran-sasaran supaya tidak tertinggal di arena antarabangsa.

Bagaimanakah Wawasan Brunei 2035 dirancang dan ditubuhkan?

Wawasan Brunei 2035 > Penubuhan Wawasan Brunei 2035

Proses merangka pelan pembangunan jangka panjang bermula dengan sesi konsultasi menyeluruh dengan pelbagai lapisan rakyat dan penduduk berkenaan hasrat mereka terhadap pembangunan Negara di masa akan datang.

Setelah melalui proses-proses tersebut, Buku Rancangan Kemajuan Negara yang ke-Sembilan (9) telah dilancarkan pada Januari 2008 dan menjelaskan visi tiga puluh tahun yang akan datang iaitu Wawasan Brunei 2035.

Pada tahun 2014, Majlis Tertinggi Wawasan Brunei 2035 ditubuhkan untuk memastikan pencapaian Wawasan Brunei 2035 dan memberikan hala tuju di peringkat tertinggi.

Manakala pada tahun 2016, Kerangka Kerja Wawasan Brunei 2035 ditubuhkan sebagai rujukan untuk mengurus dan memantau pembangunan negara.

Dalam penelitian kesemua aspek bagi pembangunan Negara menjelang tahun 2035, Nila-Nilai Teras juga diserapkan iaitu:-

  1. Komited dan taat setia kepada Sultan dan Negara
  2. Berpegang teguh kepada nilai Islam menurut Ahli Sunnah Wal-Jemaah Mazhaf Shafie
  3. Mengamalkan dan berpegang kepada konsep Melayu Islam Beraja (MIB)

Pendekatan Senegara (Whole of Nation Approach)

Wawasan Brunei 2035 > Pendekatan Senegara (Whole of Nation)

Kejayaan negara di masa akan datang bergantung kepada kebolehan kesemua pihak di negara ini untuk bekerjasama ke arah menjayakan Wawasan Brunei 2035.

Kerjasama di antara Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan, pihak swasta, badan-badan bukan kerajaan (NGOs), masyarakat-masyarakat, individu-individu dan orang awam adalah sangat penting bagi menjayakan Wawasan negara kerana setiap pihak mempunyai peranan masing-masing dan tanpa sokongan ini ianya akan menjejaskan perkembangan negara.

Pihak Kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk merangka strategi dan menjalankan pelan-pelan tindakan ke arah menjayakan Wawasan. Dasar dan tindakan yang dijalankan hendaklah melibatkan kesemua pihak bagi memastikan langkah-langkah yang diambil bukan sahaja langkah yang memberikan impak yang terbaik tetapi juga mencerminkan hasrat rakyat.

Pihak Swasta pula memainkan peranan penting dalam pelbagai aspek, lebih-lebih lagi dari aspek membangun dan mengembangkan ekonomi negara. Pihak swasta juga berkemampuan untuk menjana pekerjaan bagi rakyat dan penduduk negara disamping meneroka sektor-sektor perniagaan yang lain yang akan membuka negara kepada sumber perekonomian yang meluas disamping meningkatkan eksport kepada negara-negara luar.

Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGOs) mempunyai peranan untuk menyokong negara dan rakyat dengan memberikan tumpuan pada bidang-bidang yang memerlukan sokongan tambahan seperti dari segi bantuan sosial dan pembangunan belia. NGOs juga boleh menerajui bidang-bidang penting yang bukan dibawah bidang kuasa mana-mana pihak.

Masyarakat/Individu/Orang Awam pula merupakan unit yang mengerakkan usaha-usaha yang diterajui oleh mana-mana pihak dan kita bolehlah menyumbang bagi menjayakan Wawasan Brunei 2035 dengan melibatkan diri dalam semua inisiatif-inisiatif kerajaan, pihak swasta mahupun NGOs.

Bagaimanakah Urustadbir Wawasan Brunei 2035 dijalankan?

Wawasan Brunei 2035 > Urustadbir Wawasan

Seperti yang kita sedia maklum, pelbagai pihak mempunyai peranan dalam menjayakan Wawasan Brunei 2035 dan bagi memastikan pencapaian sasaran-sasaran di bawah Wawasan Brunei 2035 akan memerlukan penyelarasan kerjasama antara kesemua pihak. 

Penyelarasan di peringkat tertinggi, sememangnya diterajui oleh Majlis Tertinggi Wawasan Brunei 2035 (MWTB) yang memberikan panduan dan mengerakkan peneraju dan pihak-pihak yang tertentu ke arah menjalankan inisiatif-inisiatif yang selaras dengan strategi Wawasan Brunei 2035. MTWB menerima perkembangan terkini daripada setiap peneraju strategi tentang perkembangan bidang-bidang di bawah strategi mereka.

Peneraju bertanggungjawab untuk menubuhkan jawatankuasa masing-masing yang akan melibatkan kesemua belah pihak daripada Kementerian/Jabatan kerajaan yang lain, pihak Badan-Badang Bukan Kerajaan (NGOs), pihak Swasta dan orang-orang awam. Ini adalah untuk memastikan dasar, strategi dan perancangan yang dibuat dapat mencerminkan hasrat kesemua lapisan masyarakat. Peneraju-peneraju kemudiannya akan mengerakkan Kementerian/Jabatan di bawah nya untuk menjalankan strategi masing-masing berdasarkan hala tuju daripada MTWB.

Kementerian/Jabatan kerajaan kemudiannya menyesuaikan strategi dibawah Kementerian/Jabatan masing-masing dengan mengadakan inisiatif serta projek yang menyumbang kepada hasrat MTWB. Ini akan dilaksanakan oleh agensi-agensi pelaksana melalui pelan-pelan tindakan masing-masing.

Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGOs), pihak Swasta, orang-orang awam adalah termasuk dalam rangkaian pensejajaran ini dimana mereka pun terlibat di pelbagai peringkat sama ada dijemput sebagai ahli di peringkat peneraju atau termasuk dalam jawatankuasa-jawatankuasa di peringkat kementerian (seperti inisiatif Mukim Sihat) atau bersama-sama agensi pelaksana untuk menjalankan pelan-pelan tindakan.

Rangkaian urustadbir ini boleh dilihat dengan lebih jelas melalui rajah di bawah.

Rangkaian Urustadbir Wawasan Brunei 2035

Picture2.png


Adakah Brunei Darussalam membuat Benchmarking bagi Wawasan Brunei 2035?

Wawasan Brunei 2035 > Benchmarking

Proses Benchmarking sememangnya menjadi salah satu proses yang digunakan dalam menetapkan hala tuju Wawasan Brunei 2035 dan dalam mengenal pasti inisiatif-inisiatif yang perlu dijalankan. Ianya menjadi proses yang tetap dalam apa jua proses perancangan dalam semua peringkat yang antaranya termasuk:

  • Mengadakan Kerangka Kerja Wawasan Brunei 2035
  • Penetapan Petunjuk Prestasi Utama Kebangsaan (NKPIs)
  • Mengenalpasti inisiatif dan tindakan
  • Penetapan bidang yang perlu diberikan keutamaan
  • Foresighting (Strategi masa depan

Apakah antara cabaran-cabaran yang dihadapi dalam menjayakan Wawasan Brunei 2035?

Wawasan Brunei 2035 > Sumbangan Masing-Masing

Antara cabaran-cabaran yang dihadapi dalam menjayakan Wawasan Brunei 2035 adalah mengubah mindset, pensejajaran dan penglibatan kesemua pihak.

Kita perlu meningkatkan lagi kerjasama dikesemua pihak, dari agensi kerajaan, agensi swasta, badan-badan bukan kerajaan dan sebagai individu atau rakyat negara ini dalam sama-sama menjayakan Wawasan Negara, terutama sekali dalam menangani isu-isu bersifat cross-cutting.

Apakah perancangan Wawasan Brunei selepas tahun 2035?

Wawasan Brunei 2035 > Perancangan Masa Depan

Sasaran Wawasan Brunei 2035 sememangnya dirancang berdasarkan pencapaian-pencapaian negara pada tahun 2035. Walaubagaimanapun perancangan bagi kemajuan negara selepas tahun 2035 sudah memang diserapkan dalam perancangan-perancangan masa ini lebih-lebih lagi dari segi aspek pembangunan dan kedayatahanan. 

Pada masa yang sama, usaha-usaha persediaan awal melalui Strategi Masa Depan (Foresighting) juga mula dijalankan dan bertujuan untuk memberikan gambaran situasi negara di masa akan datang.

Disamping mengenalpasti cabaran-cabaran yang dihadapi pada masa hadapan, ianya akan memberikan kita kapasiti untuk menjadi lebih bersedia untuk menangani apa jua isu, masalah dan cabaran yang akan dilalui nanti.

Di manakan kedudukan bidang-bidang yang tidak tersenarai dalam Kerangka Kerja Wawasan Brunei 2035?

Wawasan Brunei 2035 > Kerangka Kerja Wawasan

Di dalam Kerangka Kerja Wawasan Brunei 2035, terdapa 28 bidang utama yang telah dikenalpasti.

Bidang-bidang utama ini merupakan bidang-bidang yang perlu diberikan perhatian dan usaha-usaha yang diungkayahkan menjurus kepada memastikan bidang-bidang tersebut diperkembangkan dengan sempurnanya.

Ini bukan bererti bidang-bidang yang tidak termasuk dalam 28 bidang tersebut adalah tidak penting, ianya boleh dijadikan keutamaan di peringkat Kementerian atau Jabatan sahaja.

Bidang-bidang utama ini boleh berubah dan berganti tertakluk kepada keperluan negara dan persetujuan Majlis Tertinggi Wawasan Brunei 2035.

Apakah hasil (Outcome) yang ingin dicapai oleh negara ke arah merealisasikan Wawasan Brunei 2035?

Wawasan Brunei 2035 > Kerangka Kerja Wawasan

Sebanyak 12 hasil (atau lebih dikenali sebagai Hasil Pencapaian) yang perlu dicapai oleh negara yang akan memberikan impak dalam mendokong Wawasan Brunei 2035 iaitu:

12 Outcomes.jpg

Adakah Wawasan Brunei 2035 hanya menumpukan kepada meningkatkan perkembangan dalam bidang akademik saja?

Matlamat 1 - Rakyat yang Berpendidikan, Berkemahiran Tinggi dan Berjaya > Sistem Pendidikan Negara

Tidak. Wawasan Brunei 2035 bukan saja mengetengahkan kepentingan bagi rakyat untuk berpendidikan tinggi malah juga menghasratkan mereka untuk menjadi mahir dan berjaya.

Oleh itu, peluang-peluang untuk seseorang itu untuk berjaya dalam hidup bukan saja terbatas pada laluan akademik tetapi juga merangkumi perolehan kemahiran bertukang dalam bidang teknikal dan sebagainya.

Apakah peluang-peluang yang ada bagi para belia untuk terus maju dalam kehidupan selain daripada laluan akademik?

Matlamat 1 - Rakyat yang Berpendidikan, Berkemahiran Tinggi dan Berjaya > Tenaga Manusia

Wawasan Brunei 2035 menginginkan setiap rakyat menjadi seseorang yang berjaya dan bagi meraih kejayaan ini, terdapat pelbagai cara atau platform yang disediakan oleh pihak Kerajaan, sektor swasta dan juga NGOs serta komuniti. Beberapa contoh platform dan program yang disediakan adalah seperti berikut:

SPN21

Selain daripada memastikan pelajar-pelajar menimba ilmu pengetahuan subjek-subjek yang dipelajari, Rangka Kerja Kurrikulum SPN21 juga memberi fokus kepada membina kemahiran pelajar-pelajar seperti kemahiran komunikasi, Information Communication Technology (ICT) dan critical thinking/problem solving. Pelbagai kaedah yang digunakan di sekolah-sekolah bagi mencapai tujuan ini. Sebagai contoh, pembelajaran pada masa ini adalah lebih kepada 'student-centred' atau pembelajaran berasaskan aktiviti (activity-based learning) dan bukannya 'teacher-centred'.

MELIBATKAN DIRI DALAM NGO

Alhamdulillah, terdapat juga platform lain yang para belia boleh mengikuti untuk membina kemahiran diri seperti program atau aktiviti yang ditawarkan oleh NGOs/komuniti. Fokus NGOs/komuniti ini adalah meluas dan berdasarkan kepada objektif utama penubuhan masing-masing, seperti menggalakkan aktiviti-aktiviti menjurus persekitaran hijau, membantu mereka yang berpendapatan rendah atau menangani isu-isu sosial.

PROGRAM KEUSAHAWANAN

Program keusahawanan seperti Energy Business Academy (EBA) dan Industry Business Academy (IBA). Program EBA ini ditawarkan oleh Brunei Shell Petroleum (BSP) kepada mana-mana syarikat tempatan yang berminat untuk mengambil bahagian dalam tawaran (tender) yang dikeluarkan oleh Brunei Shell Joint Venture (BSJV). Ia bertujuan untuk membina kecekapan dan keupayaan serta meningkatkan daya saing peniaga tempatan yang menceburi ke dalam industri minyak dan gas melalui latihan dan bimbingan oleh ahli professional (pakar). Program ini juga dikhususkan bagi membantu Perniagaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang masih belum mendapat kontrak BSJV.

PROGRAM INDUSTRY BUSINESS ACADEMY  (IBA)

Program IBA pula mula diperkenalkan pada bulan Julai 2016. Program ini dikendalikan oleh Darussalam Enterprise (DARe)  yang mana ianya adalah sebagai program pembangunan bagi membantu peniaga untuk mendapatkan pengetahuan yang diperlukan bagi memulakan perniagaan, berkembang dan ekspot.

WORK PLACEMENT / INTERNSHIP

Work Placement dan Work Experience. Beberapa program telah diperkenalkan seperti program Perantisan i-Ready yang mana ianya adalah satu platform kepada graduan yang memperolehi kelulusan ijazah sarjana muda dan ke atas untuk mendapatkan pengalaman kerja di sektor swasta dan sektor Kerajaan. Semasa menjalani program ini, para perantis akan sentiasa diberikan tunjuk ajar oleh penyelia atau coach bagi memastikan graduan yang dilatih mendapat kemahiran dan pengalaman sesuai dengan jawatan yang diberikan.

PROGRAM i-USAHAWAN

Program i-Usahawan. Program ini diperkenalkan pada tahun 2018 semasa Hari Belia. Program ini adalah satu inisiatif pembangunan keusahawanan yang bertujuan untuk membantu belia tempatan dalam mendapatkan kontrak perniagaan pertama samada dengan pihak Kerajaan, syarikat-syarikat GLCs atau Badan Berkanun. Melalui program ini, belia akan menerima bantuan seperti menjalani kursus yang berkaitan dengan business start-up, bimbingan dari mentor yang berpengalaman, ring-fenced bagi jenis projek yang telah dikenalpasti dan ikut serta dalam tender. Jika terpilih, mereka akan dianugerahkan kontrak perniagaan selama 3 tahun.

Namun apa yang setiap belia perlu ingat ialah menceburi diri di dalam mana-mana bidang memerlukan usaha gigih, semangat yang kuat dan perancangan yang cukup untuk terus maju. Oleh itu, belia perlu bersemangat tinggi dan gigih dalam apa jua yang diceburi agar dapat meningkatkan lagi kemahiran diri sendiri dan menyumbang kepada pembangunan negara.

Apakah antara inisiatif yang telah dijalankan bagi memastikan Rakyat yang Berpendidikan Tinggi, Berkemahiran dan Berjaya?

Matlamat 1 - Rakyat yang Berpendidikan, Berkemahiran Tinggi dan Berjaya > Tenaga Manusia

Antara inisiatif-inisiatif yang dijalankan pada masa ini adalah seperti:

  1. Inisiatif bagi pelajar: Inisiatif Pendidikan yang diadakan di sekolah rendah, menengah dan juga sekolah ugama bagi meningkatkan lagi pencapaian para pelajar dalam pendidikan.
  2. Inisiatif bagi guru: Kemahiran dan kualiti guru juga menjadi keutamaan dengan memastikan guru-guru di negara ini adalah terdiri daripada tenaga pengajar yang berkualiti tinggi melalui Piawaian dan Penilaian Prestasi bagi Guru-Guru Brunei dan Piawaian Literasi dan Numerasi Brunei Darussalam.
  3. Inisiatif bagi sekolah: Memastikan sekolah dan institusi pembelajaran adalah kondusif dan selesa bagi pelajar dan guru dengan mengadakan Piawaian Sekolah-Sekolah Brunei.
  4. Inisiatif bukan akademik iaitu pusat latihan kemahiran– Sebanyak 2 buah pusat latihan terdapat di Negara ini yang memberikan latihan kemahiran kepada anak-anak tempatan. 2 buah pusat latihan berkenaan adalah i) Pusat Pembangunan Kapasiti (PPK) dan Pusat Pembangunan Belia (PPB). Melalui pusat ini, para anak tempatan boleh meningkatkan kemahiran (upskilling) dan mendapatkan kemahiran yang lain (reskilling). Pusat ini juga menyediakan latihan kemahiran mengikut kehendak industri. 

Apakah dimaksudkan dengan Pembelajaran Sepanjang Hayat (Life Long Learning) yang menyumbang kepada Wawasan Brunei 2035?

Matlamat 1 - Rakyat yang Berpendidikan, Berkemahiran Tinggi dan Berjaya > Pembelajaran Sepanjang Hayat

Sempena Majlis Konvokesyen Ke-30 Universiti Brunei Darussalam pada 17hb Zulhijjah 1439 bersamaan 29hb September 2018, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah supaya sistem pendidikan memberikan tumpuan kepada pembelajaran sepanjang hayat. Pembelajaran sepanjang hayat bukan sahaja digalakkan oleh agama, tetapi amat penting bagi menambahbaik ilmu pengetahuan dan meningkatkan lagi kemahiran atau skill-set seseorang individu.

Pembelajaran seharusnya diteruskan bukan hanya di peringkat sekolah, malahan dalam alam pekerjaan dan selanjutnya. Alhamdulillah, peluang untuk menimba ilmu sepanjang hayat kini ditawarkan oleh pelbagai pihak termasuk swasta dan NGOs.

Sistem Pendidikan Brunei tidak meletakkan syarat umur bagi sesiapa yang ingin menimba ilmu pengetahuan. Pada masa ini, beberapa program telah dibangunkan untuk meningkatkan kemahiran (up-skilling) pada peringkat pasca-menengah dan pengajian tinggi seperti Continuous Education and Training (CET).

Continuous Education and Training (CET)

CET adalah kursus-kursus pendek yang dibukakan kepada orang ramai terutamanya bagi mereka yang sudah dalam pekerjaan. Sebagai contoh, Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) menawarkan kursus-kursus CET seperti menjahit kain, cara membuat chocolate bouquets dan sebagainya. Ini boleh menyumbang kepada usaha-usaha keusahawanan di negara ini. Universiti Brunei Darussalam turut menawarkan program yang 'flexible' melalui UBD Centre of Lifelong Learning khusus bagi yang sedang bekerja dan jua pelajar matang.

Pusat Pembangunan Belia (PPB) & Pusat Pembangunan Kapasiti (PPK)

Selain daripada IBTE, Pusat Pembangunan Belia (PPB) dan Pusat Pembangunan Kapasiti (PPK) juga menyediakan program-program khusus bagi pembelajaran sepanjang hayat. Kursus-kursus yang disediakan adalah selaras dengan kehendak industri. Pada masa yang sama juga, institusi pendidikan swasta juga turut menyediakan kursus-kursus pembelajaran sepanjang hayat. Dengan adanya kursus-kursus tersebut, ianya diharap para anak tempatan akan mendapat kemahiran yang bersesuaian mengikut kehendak dan keperluan sesebuah organisasi atau industri.

Program diberikan oleh sektor swasta seperti Benchlab

Sebagai salah satu contoh daripada pihak swasta pula, Benchlab, iaitu satu syarikat ditubuhkan bagi menyediakan satu platform untuk berkongsi kemahiran daripada para pakar kepada orang awam, juga adalah salah satu cara bagi orang awam untuk menimba ilmu seperti cara memasak hidangan terpilih, calligraphy, menjahit baju dan sebagainya. Contoh yang lain adalah kelas-kelas mengaji seperti yang ditawarkan oleh Nadi Quranic Learning Centre yang mana motonya adalah 'Membina Generasi Al-Quran yang Unggul'. Ini bermakna bahawa walaupun seseorang itu sudah tamat menjalani sekolah agama, peluang masih ada untuk mendalami lagi ilmu Al-Quran.

Di masa dunia yang sedang berkembang dengan pesat, amat penting bagi kita semua selaku rakyat Negara Brunei Darussalam untuk sentiasa menimba ilmu pengetahuan dan mempertingkatkan kemahiran-kemahiran yang sedia ada. Ini  akan setentunya menyumbang kepada pencapaian Wawasan Brunei 2035.

Apakah yang dimaksudkan dengan Industry Competency Framework dan bagaimana ianya membantu negara/rakyat?

Matlamat 1 - Rakyat yang Berpendidikan, Berkemahiran Tinggi dan Berjaya > Tenaga Manusia

Rangka kerja Kompetensi Industri (Industry Competency Framework – ICF) merupakan satu rangka kerja yang menyenaraikan kompetensi-kompetensi yang diperlukan oleh pihak industri.

Antaralain tujuan rangka kerja tersebut diperkenalkan adalah seperti berikut:

  1. Menerangkan kompetensi-kompetensi yang diperlukan untuk melaksanakan sesuatu kerja dan tanggungjawab pada sesuatu industri;
  2. Memastikan reka bentuk kurikulum yang dijalankan di institusi-institusi pengajian tertentu yang menawarkan ICF memenuhi keperluan pihak majikan dan industri;
  3. Meningkatkan kebolehpasaran (employability) warga-warga tempatan untuk bekerja di industri-industri; dan
  4. Memastikan sebaik sahaja kursus selesai dilaksanakan, peserta akan diberikan pekerja tetap tertakluk kepada syarat yang ditetapkan (conditional offer of employment)


Bagi mencapai tujuan-tujuan tersebut, perbincangan dilakukan secara berterusan di antara pihak kerajaan, pihak industri dan pihak institusi-institusi pengajian tertentu terutamanya bagi mengenalpasti keperluan tenaga kerja mereka.

Apakah yang sedang dilakukan bagi mengelak warga tempatan daripada mencari pekerjaan di luar negara?

Matlamat 1 - Rakyat yang Berpendidikan, Berkemahiran Tinggi dan Berjaya > Pengangguran

Warga tempatan boleh mencari pekerjaan di luar negara untuk menimba ilmu dan pengetahuan, yang mana pengalaman pekerjaan tersebut boleh seterusnya digunakan atau diadaptasi kepada Negara Brunei Darussalam kelak. Ini juga dapat memastikan bahawa Negara akan maju setaraf dengan negara-negara antarabangsa.

Melalui program perantisan i-Ready pula, peluang pendedahan kerja di luar negara juga diberikan kepada para perantis agar lebih marketable. Pada masa ini, beberapa orang perantis telah ditempatkan di Malaysia dan beberapa perancangan sedang dilaksanakan untuk melanjutkan pendedahan ini ke negara-negara yang lain. 

Apa yang sedang dilakukan untuk menangani masalah ketidak sepadanan (mismatch) antara kelayakan dan pekerjaan?

Matlamat 3 - Ekonomi yang Dinamik dan Berdayatahan > Pengangguran

Terdapat pelbagai inisiatif yang sedang dilakukan untuk menangani ketidak-sepadanan di antara kelayakan warga dan pekerjaan. Antaralainnya adalah seperti berikut:

Program Perantisan I-Ready

Pengenalan Program Perantisan 'I-Ready' (I-Ready Apprenticeship Programme).  Program Perantisan i-Ready ini adalah satu platform kepada graduan yang memperolehi kelulusan ijazah sarjana muda dan ke atas untuk mendapatkan pengalaman kerja di sektor swasta dan sektor Kerajaan. Semasa menjalani program ini, para perantis akan sentiasa diberikan tunjuk ajar oleh penyelia atau coach bagi memastikan graduan yang dilatih mendapat kemahiran dan pengalaman sesuai dengan jawatan yang diberikan;

Kerjasama dengan agensi-agensi berkepentingan

Pihak Bahagian Strategi Tenaga Manusia, Kementerian Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian, juga bekerjasama dengan agensi-agensi yang berkepentingan seperti Kementerian Pendidikan, FDI Action and Support Centre (FAST), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, para industri dan syarikat-syarikat swasta. Salah satu inisiatif yang dibuat adalah pengongsian real time data dan reporting. Selain dari itu, laporan terperinci termasuk keperluan kelulusan dan pengalaman jawatan kosong di bawah syarikat FDI mengikut Brunei Darussalam Standard of Occupation Classification (BDSOC) juga dihadapkan oleh syarikat FDI pada setiap tiga bulan ke Bahagian Strategi Tenaga Manusia dan FAST. Maklumat yang dihadapkan membolehkan pihak Bahagian Strategi Tenaga Manusia untuk membuat penelitian terhadap keperluan semasa pihak industri. Pada masa yang sama juga, pihak Bahagian Strategi Tenaga Manusia juga akan mengongsikan maklumat ini bersama agensi-agensi berkepentingan terutama institusi-institusi pengajian dan juga PPK  dalam merancang jenis-jenis kursus dan latihan yang bersesuaian agar selaras dengan kehendak syarikat dan industri. 

Penubuhan Industry Steering Committee (ISC)

Pada masa yang sama juga, Industry Steering Committee (ISC) telah ditubuhkan dan dipengerusikan oleh beberapa orang Ahli Lembaga Pengelola IBTE dan ahli-ahlinya terdiri daripada industri berkaitan. Di samping memberi hala tuju mengenai pembangunan kurikulum agar program-program yang ditawarkan dapat menyumbang kepada pembangunan negara, jawatankuasa ini juga berperanan bagi memastikan program-program yang ditawarkan oleh IBTE selaras dengan inisiatif-inisiatif di peringkat kebangsaan. Peluang pekerjaan seterusnya adalah dirancang untuk dipadankan kepada anak-anak tempatan yang berkelayakan. Penubuhan ISC ini akan dilaratkan ke sektor-sektor lain termasuk Halal Industry dan Agrifood. Keahlian ISC ini juga akan dilaratkan  ke PPK yang mana ini akan dapat memastikan lagi kursus-kursus yang dijalankan adalah memenuhi kehendak industri dari masa ke semasa. 

Labour Market Information System (LMIS)

Pada masa ini juga, tindakan untuk memadankan permintaan dan pembekalan tenaga manusia dalam jangka masa panjang untuk negara ini adalah melalui  penyediaan Labour Market Information System (LMIS). Sistem ini dihasratkan bagi mendapatkan maklumat pasaran buruh yang mana ianya akan dapat membuat jangkaan tenaga kerja (labour forecast).

Pada masa yang sama ianya akan dapat membantu membuat pemadanan permintaan (supply) dan pembekalan (demand) tenaga manusia. Data dan maklumat yang terkini dan betul hendaklah disalurkan ke dalam sistem ini bagi memastikan sistem ini menjana maklumat yang betul, telus dan teratur. Jabatan ini juga sedang giat bekerjasama dengan pihak International Labour Organisation (ILO) bagi penyediaan LMIS. Dengan adanya sistem ini nanti, proses pemadanan supply dan demand akan mudah dilaksanakan.

Penambahbaikan pada prosedur pengambilan kerja yang sedia ada bagi kerajaan dan sektor swasta. Antaralainnya adalah seperti berikut:

  • Pengenalan Sistem PSC Recruitment iaitu satu sistem pengambilan online untuk memudahkan permohonan pekerjaan orang ramai kepada kerajaan dan seterusnya mempercepatkan proses pengambilan dan pengisian jawatan kosong yang dikendalikan oleh Pejabat Suruhanjaya Perkhidmatan Awam. Sistem online tersebut juga dapat memastikan proses pemadanan yang lebih baik di antara kelulusan pemohon-pemohon berkenaan dengan keperluan jawatan-jawatan kosong tersebut.
  • Penubuhan JobCentre Brunei (JCB) iaitu satu pusat menawarkan perkhidmatan terutamanya berkaitan dengan pengambilan kerja warga tempatan di sektor swasta. Sebagai salah satu proses pengambilan kerja tersebut, JCB membantu memadankan kelulusan Pencari Kerja Tempatan (local jobseekers) dengan jawatan-jawatan kerja kosong di sektor swasta yang telah diiklankan di JCB. Program Perantisan 'i-Ready' juga adalah salah satu program dikendalikan oleh JCB.

 

Khususnya bagi industri-industri, Rangka kerja Kompetensi Industri (Industry Competency Framework – ICF) telah diperkenalkan. Rangka kerja tersebut menyenaraikan kompetensi-kompetensi yang diperlukan oleh pihak industri, yang kemudiannya akan diselaraskan dengan latihan atau program yang dijalankan oleh institusi-institusi pengajian tertentu yang menawarkan ICF. Analisa keperluan (needs analysis) juga dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi memastikan bahawa program-program yang ditawarkan tersebut adalah berdasarkan kepada keperluan industri-industri.

Apakah peranan Pusat Perkembangan Kapasiti (PPK)?

Matlamat 1 - Rakyat yang Berpendidikan, Berkemahiran Tinggi dan Berjaya > Tenaga Manusia

Pusat Perkembangan Kapasiti (PPK) adalah pusat latihan kemahiran yang sedang beroperasi di bawah Kementerian Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian (KTP) dan ditubuhkan pada bulan September 2017. Program latihan di PPK dijalankan oleh Organisasi-Organisasi Latihan Berdaftar (Registered Training Organisations - RTOs) berdasarkan sukatan latihan antarabangsa dan institusi industri yang terkemuka.

Misi PPK ialah untuk menghasilkan graduan yang 'job-ready' melalui penyelarasan kemahiran dan pembangunan industri di Negara Brunei Darussalam. Secara ringkasnya, PPK menawarkan program-program untuk meningkatkan kemahiran skill-set yang bertepatan dengan keperluan industri, seperti tukang cat, tukang besi dan scaffolding.

Salah satu syarat utama bagi pemohon-pemohon untuk mengikuti program-program tersebut ialah menamatkan pengajian sekurang-kurangnya hingga Tahun 9. Pelajar-pelajar yang telah berjaya masuk dalam program akan diberikan Tawaran Pekerjaan Bersyarat (Conditional Offer of Employment - COE), yang mana mereka hendaklah menamatkan latihan mereka dengan baik sebelum pekerjaan mereka ditetapkan dengan pihak majikan.

Apakah usaha-usaha yang dijalankan untuk menangani pengangguran?

Matlamat 1 - Rakyat yang Berpendidikan, Berkemahiran Tinggi dan Berjaya > Pengangguran

Usaha untuk menangani isu pengangguran memerlukan penglibatan daripada semua pihak, iaitu kerajaan, sektor swasta dan juga orang awam. Alhamdulillah, pelbagai usaha giat dijalankan untuk membantu warga-warga tempatan mendapatkan pekerjaan. 

Selain daripada 11 priority actions yang telah disokong oleh Majlis Perancangan Tenaga Manusia (MPC), beberapa inisiatif flagship telah diperkenalkan bagi membantu menurunkan kadar pengangguran di negara ini seperti berikut:

Program Perantisan i-Ready

Program perantisan i-Ready adalah satu platform kepada graduan yang memperolehi kelulusan ijazah sarjana muda dan ke atas untuk mendapatkan pengalaman kerja di sektor swasta dan sektor Kerajaan. 

Semasa menjalani program ini, para perantis akan sentiasa diberikan tunjuk ajar oleh penyelia atau coach bagi memastikan graduan yang dilatih mendapat kemahiran dan pengalaman sesuai dengan jawatan yang diberikan. 

Elaun bulanan sebanyak BND 800 yang dibiayai oleh pihak Kerajaan juga turut diberikan. Program ini diperuntukan bagi 1,562 orang graduan setiap tahun.

Program Yang Mengikuti Piawaian (Standard) Industri

Program ini adalah usaha kerjasama rapat diantara Kementerian Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian (MEMI) dan Kementerian Pendidikan serta agensi Kerajaan yang lain dengan konsultasi yang meluas dengan pihak Industri. 

Rangka kerja ini telah diperkenalkan dengan tujuan seperti berikut: 

  1. Mengenalpasti kemahiran (competency) yang diperlukan bagi melaksanakan kerja dan tugas.
  2. Merapatkan jurang dan menselaraskan keperluan industri dengan training providers.
  3. Penyediaan program-program yang mempunyai keperluan (demand) dari industri.
  4. Meningkatkan employability anak-anak tempatan dengan meningkatkan kemahiran (up-skilling) untuk berkhidmat di dalam industri.


Program ini menyediakan Conditional Offer of Employment (COE) kepada para pelatih. Setakat ini ICF telah dilaratkan kepada beberapa sektor seperti:-

(i) Sektor Pembinaan;

(ii) Sektor Hospitaliti; 

(iii) Sektor Pengangkutan dan Logistik; 

(iv) Sektor Information Technology and Creative Industry (ITCI); dan 

(v) Sektor Agri makanan. 

Selain itu juga, salah satu program yang dilaksanakan di bawah program ICF ialah Continous Education Training (CET) in Kitchen Assistant and Restaurant Steward dengan tujuan untuk meningkatkan minat serta kemahiran anak-anak tempatan di dalam bidang-bidang yang tertentu khususnya bidang yang banyak diperlukan oleh pihak-pihak industri.

Penubuhan Job Centre Brunei (JCB)

Penubuhan Job Centre Brunei (JCB) pada bulan Januari 2017. JCB memberi perkhidmatan membantu pemohon kerja untuk mencari kerja dengan memadankan kelulusan dan kemahiran mereka dengan jawatan-jawatan kosong yang diiklankan oleh majikan-majikan pada sistem JCB. 

Pada masa yang sama, JCB turut menyediakan kemudahan-kemudahan lain kepada Pencari Kerja Tempatan seperti sesi mengenai temuduga kerja, latihan penulisan Keterangan Vitae (Curriculum Vitae – CV) dan kelas Digital Literacy bagi pengetahuan pendahuluan IT. 

Inisiatif yang dilaksanakan oleh JCB adalah seperti walk-in-interview, focus group with jobseekers, district connect, perkhidmatan kaunseling dan institute outreached.

Pusat Perkembangan Kapasti (PPK)

Program Pusat Pembangunan Kapasiti (PPK) menawarkan latihan kemahiran kepada anak-anak tempatan bagi melayakkan mereka menjawat pelbagai pekerjaan di sektor swasta termasuk syarikat-syarikat pelaburan langsung asing. 

Objektif pusat ini adalah untuk menjadikan para pencari kerja tempatan lebih employable memandangkan program latihan yang ditawarkan adalah selaras dengan kehendak dan diiktiraf oleh industri. 

Melalui program di pusat ini pelatih mendapatkan kemahiran yang diperlukan oleh industri dan seterusnya meningkatkan kelayakan mereka menjawat pelbagai pekerjaan di sektor swasta termasuk syarikat-syarikat Pelaburan Langsung Asing.

Menarik Pelabur-Pelabur Asing Langsung (Foreign Direct Investors - FDI) 

Menarik Pelabur-Pelabur Asing Langsung (Foreign Direct Investors - FDI) dan pelaburan-pelaburan lain untuk menjana pekerjaan bagi warga tempatan, dan juga sebagai langkah untuk mempelbagaikan ekonomi. Salah satu contoh pelaburan tersebut adalah pembangunan kilang margerin pada bulan November 2017 di Serasa yang dianggarkan berkos BND 50 juta.


SEKTOR SWASTA

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Sambutan Hari Raya 'Idil Fitri bersama Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah pada 21hb Syawal 1439 bersamaan 5hb Julai 2018 bertitah supaya para 'jobseekers' lebih berfikiran terbuka dan berani untuk bekerja di sektor swasta dan menubuhkan perniagaan sendiri; serta sentiasa bersabar dan tekun.

Alhamdulillah pada masa ini kelihatan lebih ramai anak-anak muda yang bercabang kepada keusahawanan terutama sekali dengan kemudahan yang disediakan. Beberapa contoh adalah seperti program StartUp Brunei yang memberi khidmat nasihat mentorship; dan perusahaan Dart iaitu satu sistem tempahan teksi secara online, yang mana pemandunya terdiri dari warga tempatan.  


NGO/KOMUNITI:

Tidak kurang jua inisiatif-inisiatif dari pihak NGOs dan komuniti sendiri. Alhamdulillah sudah ramai anak-anak muda yang terlibat dalam projek-projek dan program kerohanian seperti Alhuffaz, Projek Bina Ukhwah, Belia Daie dan sebagainya. 

Ini dapat memberikan pengalaman yang berharga, dan setentunya berguna apabila mendapat pekerjaan tetap kelak. Program-program yang lain jua termasuk Generasi Bekarih iaitu latihan motivasi dan kepimpinan.

Apakah tindakan-tindakan yang dibuat bagi mengawal kemasukan pekerja-pekerja asing?

Matlamat 1 - Rakyat yang Berpendidikan, Berkemahiran Tinggi dan Berjaya > Tenaga Manusia

Pelbagai tindakan telahpun dibuat bagi mengawal kemasukan pekerja-pekerja asing di negara ini, antaranya ialah:

i. Jabatan Buruh di bawah Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri sentiasa aktif menjalankan dasar bagi memastikan bilangan pekerja asing adalah terkawal. Salah satu dasar tersebut ialah Localisation Policy, iaitu dasar yang memprioritikan penduduk tempatan untuk terlibat dalam pekerjaan sektor swasta dan pada masa yang sama, pekerjaan yang diisikan oleh pekerja-pekerja asing dinilai sebagai 'sementara'. Untuk pengetahuan lebih lanjut, antara pelaksanaan-perlaksanaan dasar yang mengawal jumlah pekerja asing adalah seperti berikut:

    • Kedudukan-kedudukan atau jawatan-jawatan yang diberikan kepada pekerja asing adalah kedudukan yang tidak dapat diisi oleh penduduk setempat, sama ada disebabkan oleh kelayakan / pengalaman atau kurang / tidak berminat dalam jawatan yang berkenaan.
    •  Pembekuan terhadap beberapa jawatan yang menarik dan boleh diisi oleh penduduk tempatan.

     

    ii. Kementerian Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian berperanan sebagai pengawal selia pengambilan tenaga pekerja asing di syarikat-syarikat minyak dan gas dimana satu directive telah dikeluarkan dengan tujuan untuk mengutamakan anak tempatan dan mencapai 90% pembruneianan di kalangan operator minyak dan gas.

    iii. Local Business Development (LBD) juga membantu memprioritikan lantikan warga tempatan dan memantau jumlah keseluruhan warga tempatan yang diambil di sesebuah syarikat. 

    Disamping itu, LBD juga membantu dalam memastikan syarikat-syarikat tempatan diberikan peluang yang sama rata dengan syarikat-syarikat antarabangsa dalam mengisi kontrak-kontrak atau peluang-peluang perniagaan yang ada di negara ini.

    iv.   Salah satu tindakan bagi mengawal kemasukan pekerja-pekerja asing adalah melalui Lesen Pekerja Asing (LPA) dan pendaftaran tawaran kerja yang dimandatorikan melalui JobCentre Brunei (JCB). 

    Melalui usaha ini, JCB dapat mengutamakan pencari-pencari kerja tempatan dengan membantu meningkatkan employability dan marketability mereka bagi pekerjaan di sektor-sektor swasta. Sebagai contoh, pekerjaan yang ditawarkan hanya akan dibukakan kepada pekerja-pekerja asing jika tiada seorang pun pencari kerja tempatan memohon untuk pekerjaan tersebut selama dua (2) bulan.

    v.    Selain itu, latihan-latihan bagi meningkatkan employability dan marketability juga diberikan dari masa ke semasa. Pusat Pembangunan Kapasiti (PPK) adalah salah satu pusat latihan kemahiran di negara ini yang sedang beroperasi di bawah Kementerian Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian (KTP) bermula pada bulan September 2017. 

    Misi PPK ialah untuk menghasilkan graduan yang 'job-ready' melalui penyelarasan kemahiran dan pembangunan industri di Negara Brunei Darussalam. Secara ringkasnya, PPK menawarkan program-program untuk meningkatkan kemahiran skill-set yang bertepatan dengan keperluan industri, seperti tukang cat, tukang besi dan scaffolding.

    vi.   Latihan-latihan lain yang menarik juga ditawarkan oleh Institut Pendidikan Teknikal Brunei (Institute of Brunei Technical Education - IBTE) di bawah program Continous Education and Training (CET). Sebagai contoh, latihan menjahit, mengubah chocolate bouquets dan sebagainya.

    Disamping itu, pihak swasta dan NGOs juga menawarkan latihan-latihan bagi meningkatkan marketability dan employability pencari kerja tempatan. 

    Sebagai contoh, benchlab menawarkan kursus-kursus seperti memasak, calligraphy, menjahit baju dan sebagainya. Tidak kurang jua kelas-kelas mengaji seperti Nadi Quranic Learning Centre yang mana motonya adalah 'Membina Generasi Al-Quran yang Unggul'. Ini bermakna bahawa terdapat pelbagai peluang lagi untuk mempertingkatkan lagi ilmu di luar sekolah. 

    Bagaimanakah kita menangani bekalan tenaga kerja memandangkan beribu graduan yang tamat pengajian mereka setiap tahun dan apakah rancangan yang dibuat untuk memastikan mereka mendapat pekerjaan?

    Matlamat 1 - Rakyat yang Berpendidikan, Berkemahiran Tinggi dan Berjaya > Tenaga Manusia

    Para graduan yang telah tamat pengajiannya adalah digalakkan untuk mendaftar ke pihak Job Centre Brunei yang mana, para pencari kerja graduan akan dibantu melalui skim I-Ready dan yang selebihnya akan diserap melalui start-up programme yang disarankan untuk menceburi bidang keusahawanan.

    Selain itu, penggunaan sistem JobCentre Brunei secara mandatori bagi pengiklanan jawatan kosong dan pendaftaran pencari kerja tempatan juga adalah sebagai inisiatif dalam memberikan pekerjaan kepada para pencari pekerjaan. Maklumat lanjut bolehlah diperolehi dengan melayari www.jobcentrebrunei.gov.bn

    Apakah status pengangguran di Negara Brunei Darussalam dan apakah usaha yang sedang dilakukan bagi mengurangkan kadar pengangguran di negara ini?

    Matlamat 3 - Ekonomi yang Dinamik dan Berdayatahan > Pengangguran

    Penemuan dari Kajian Tenaga Kerja 2017 menunjukkan kadar pengangguran adalah 9.3% (19,199 orang) pada tahun 2017, iaitu peningkatan daripada 6.9% (14,078 orang) yang dicatatkan pada tahun 2014.

    Dalam menangani isu pengangguran di negara ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah bertitah semasa Persidangan Khas Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet pada 21 Jamadilakhir 1439 bersamaan 07 Februari 2018:

    "Ini belum lagi diadakan cara kita menangani pengangguran. Apa caranya? Cara biasa ialah menyediakan jawatan kosong. Tetapi dalam era di mana biasa berlaku kebanjiran graduan, maka setakat mengharapkan jawatan kosong dalam Kerajaan sahaja adalah tidak lagi memadai. Maka kerana itu sangatlah perlu ada cara lain. Ada banyak cara lain antaranya mula-mula sekali tanamkan sikap tidak semata-mata bergantung kepada Kerajaan. Tanamkan semangat berdikari, semangat usahawan, semangat peniaga, semangat peladang dan petani dan bimbinglah mereka ke arah itu dan beri galakan."

    Sila rujuk kepada soalan 10 bagi usaha-usaha yang sedang dilakukan bagi mengurangkan kadar pengangguran di negara ini.